Friday, May 29, 2015

5. Team Dato’ Halim Speaker vs Team Shukri


Terlibat dengan politik PKR sebenarnya tak jauh beza dengan politik UMNO. Ini kerana PKR adalah parti politik warisan UMNO. Saya masih kabur di mana puncanya bermula pertembungan itu. Ketika itu Dato’ Halim dan Saudara Shukri sama-sama Naib Ketua Cabang. Yang pasti bukan saya puncanya. Suatu hari Dato’ Halim memaklumkan ingin memasukkan saya ke dalam teamnya sebagai calon Timbalan Ketua Cabang. Berteam pulak!
Saya mempunyai hubungan baik kedua-dua mereka. Tetapi saya agak tindakan Dato’ Halim tersebut untuk pecah undi Pondok Upeh agar tidak solid memihak kepada Shukri. Ini kerana Kedai Che Meh yang terletak di Pondok Upeh menjadi port bekas ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) lebih mesra dengan Shukri sebab Shukri dipilih sebagai Naib Ketua PKR Balik Pulau adalah wakil PRM apabila PRM bergabung dengan PKR.
Dato’ Halim bijak berpolitik. Dia adalah bekas pimpinan Pemuda Umno Balik Pulau sebelum pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Saya jadikan peluang ini untuk belajar selok-belok politik.

Team Dato’ Halim nampak lebih kemas dan tersusun. Dengan Dato’ Halim yang ketika itu adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, saya dengan reputasi sebagai Setiausaha Cabang dan Pengerusi JKKK Pondok Upeh iaitu antara JKKK yang cemerlang, Saudara Leong untuk calon Naib Ketua adalah bank undi Team Dato’ Halim dan Puan Sharifah Nooriyati yang cergas dicalon untuk jawatan Ketua Wanita menjadikan Team Dato’ Halim lebih futuristik dan educated.
1.     4. Reaksi isteri...
                                 
Sebagai seorang guru, isteri saya amat tidak berminat dengan politik dan pencalonan saya sebagai Timbalan Ketua Cabang itu. Kata isteri saya...beri sajalah pada Pak Harif yang nak tu. Tak payah lawan-lawan. Mudah sungguh congak seorang isteri! Apa pun, saya berbangga kerana memiliki seorang isteri yang baik.


Tapi pada saya dan AJK JKKK Pondok Upeh : LAWAN TETAP LAWAN! 

Thursday, May 28, 2015


3.Kempen untuk Jawatan Timbalan Ketua Cabang pun bermula


Saya bersyukur kepada Allah kerana pencalonan saya bertanding ke jawatan tersebut mendapat sokongan padu dari seluruh jentera JKKK Pondok Upeh. Saudara Ali Bin Ismail, Azhar Bin Ismail, Che Ros, Che Meh, Pak Long Choq Kriu, Ustaz Shahrin, Idris Samad, Sulaiman Dahlan, Siadin, Bakri, Mi Badang, Rusdi, Azmi Ismail dan lain-lain individu yang pasti tidak mampu saya senaraikan semuanya, masing-masing memainkan peranan. Saya pasti bangga kerana sebagai bukan anak watan Balik Pulau dan Pondok Upeh, kepercayaan terhadap saya begitu tinggi. Terima kasih tidak terhingga!
Saya pasti tidak lupa tentang kesungguhan Che Ros beri komitmen untuk berkempen di Teluk Kumbar, Pulau Betong, Sungai Rusa, Teluk Bahang dan tempat-tempat lain untuk memastikan kemenangan saya. Saya tidak akan lupa apabila Che Ros dengan menaiki motosikal Honda EX5 Azmi Bin Ismail pergi berkempen ke tempat-tempat tersebut tanpa sebarang upah dari saya di waktu pagi, tengah hari dan petang. Terima kasih tidak terhingga. Semoga Allah membalas jasa-jasa anda semua sebab niat kita untuk bawa kebaikan untuk rakyat.
1.       2. Pencalonan di luar jangkaan



Telah ditakdir Allah Yang Bijaksana, lawan saya untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang bukan YB Ahli Parlimen tetapi Saudara Harif Mat Jam, Pengerusi JKKK Pulau Betong dan Pengerusi Qaryah Masjid Pulau Betong - seorang pemimpin veteran yang berpengalaman. Kami ingatkan Hang Tuah akan berpacak silat dengan Hang Jebat. Rupanya tidak berlaku...perancangan Allah lagi tersusun. Kami terkejut dan tersenyum...cahaya terang-benderang di kegelapan malam! Jentera mula digerakkan. Ini adalah pengalaman live saya dalam politik. YB Ahli Parlimen bertanding jawatan apa?
                       



 1. Kronologi ke arah perlantikan sebagai Ahli Majlis MPPP

Segalanya bermula apabila saya mendapat mandat padu AJK JKKK Pondok Upeh yang saya pengerusikan untuk menawarkan diri bagi bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Cabang Balik Pulau, Pulau Pinang untuk pemilihan tahun 2010. Ketika menghampiri hari percalonan, angin bertiup kencang bahawa Ahli Parlimen Balik Pulau ketika itu iaitu Saudara Yusmadi Yusuf akan bertanding jawatan Timbalan Ketua Cabang yang sedang disandang oleh Saudara Rahman Bin Ismail. Saudara Rahman Bin Ismail ketika itu adalah Ahli Majlis MPPP, mengalami masalah kesihatan berkaitan jantung yang menyebabkan beliau tidak mampu terlalu aktif berpolitik. 

Kerana sebab-sebab tertentu (nak tahu kena tanya AJK JKKK Pondok Upeh ketika itu), saya mendapat mandat padu untuk mencabar Ahli Parlimen Balik Pulau bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang. Saya ketika itu adalah Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Cabang Balik Pulau dan Pengerusi JKKK Pondok Upeh. Saudara Yusmadi ahli biasa saja tetapi beliau Ahli Parlimen. Wow! Saya, berasal dari Terengganu kini sedia bersilat politik dengan Ahli Parlimen Balik Pulau iaitu anak watan Balik Pulau untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Balik Pulau. Hebatkan? Itulah pentas silat politik saya pertama. Apa yang berlaku selepas itu? Siapa yang akan saya lawan?...keajaiban berlaku, yang diluar jangkaan saya dan AJK JKKK Pondok Upeh. Apa dia? Tunggu...
                                     
                                     Dengan nama Allah yang Maha Pemurah & Penyayang. 




        Tulisan ini berkenaan pengalaman saya dilantik sebagai Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP, kini dikenali Majlis Bandaraya Pulau Pinang MBPP) bermula  4 Januari 2010 hingga 30 Jun 2012.

        Semoga bermanfaat dan sentiasa dipandu Allah dengan idea-idea yang hebat. Sebarang kelemahan mohon dimaafkan dan dialu-alukan dengan cadangan-cadangan yang lebih baik.  

        Ya, Allah! Berkati tulisan ini. Ikhlaskan tulisanku ini semata-mata keranaMu, Ya Allah. 

        Terima kasih kepada para pensyarah USM yang menggalakkan pengalaman emas ini didokumenkan, khususnya Prof. Jamal.