Monday, August 3, 2015

6. Cerita sehingga dilantik sebagai Pengerusi JKKK Pondok Upeh


6. Cerita sehingga dilantik sebagai Pengerusi JKKK Pondok Upeh

Suhu politik tanah air kembali panas menjelang Pilihanraya ke-12 apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Haji Ahmad Badawi. Saya tinggal di Pondok Upeh sejak tahun 2000 dengan mengusahakan Tuisyen Bestari dan menjadi pengedar keropok lekor dari Terengganu. Selain itu, saya juga mengusahakan Gerai Raja Ais Kacang.

Apabila pembubaran parlimen pada tahun 2008, kami di Pondok Upeh segera buka bilik gerakan dan buat kerja-kerja pilihanraya. Masa itu kami tak kisah dan tak ambil tahu siapa calon dan siapa ketua antara kami. Kami buat kerja pilihanraya kerana meluat dengan penyelewengan UMNO/BN dan berkobar-kobar dengan semangat reformasi selepas Anwar keluar dari penjara. Masing-masing menyumbang sama ada duit, tenaga, peralatan, idea dan lain-lain. Yang penting LAWAN!

Saya juga terdengar-dengar protes PAS terhadap PKR kerana ambil kerusi DUN Pulau Betong untuk lawan UMNO. Sebabnya jentera PKR di DUN Pulau Betong boleh dikatakan ‘0’ berbanding jentera PAS yang sentiasa aktif dan bersedia.  Pimpinan PKR hanya kalut masa dekat pilihanraya untuk ditonjol sebagai calon. Sebagai protes, PAS liat buka bilik gerakan mereka. Kami tak kisah kerana kami tiada kepentingan. Kami tetap aktif buat kerja di bilik gerakan. Masa tu kami nak lawan dan kalahkan UMNO/BN saja. Tidak terfikir lagi apa yang perlu kami buat jika UMNO/BN kalah.

Setelah penamaan calon, baru kami tahu yang akan bertanding di DUN Pulau Betong ialah Mansor Bin Othman yang tinggal di Sungai Dua dan Parlimen Balik Pulau ialah Yusmadi Bin Yusoff, seorang peguam di Kuala Lumpur iaitu anak watan Kampung Jalan Bahru, Balik Pulau. Kami terima dengan gembira calon-calon kami sebab kami tiada kepentingan apa-apa. Bila dikenang balik, betapa mulianya hati kami (orang kampung) untuk berjuang. Bila diseru LAWAN, kami LAWAN walaupun yang kami naikkan nanti bukan di kalangan kami. Biarpun yang jadi YB nanti bukan antara kami. LAWAN TETAP LAWAN!

Semakin dekat pilihanraya kami semakin bersemangat. Poster calon dan bendera PKR kami pasang bukan hanya di Pondok Upeh malah merentas Simpang Empat dan Kongsi. Sebabnya PKR tiada jentera yang aktif di situ. Hari pilihanraya kami sibuk di pondok panas di depan SRJK (C) Chong Teik untuk kemaskini data pengundi dan merayu undi.Taklimat malam sebelum piliharaya telah dimuktamadkan senarai petugas dari pagi hingga petang, ikut masa yang dipersetujui bersama. 

Awal pagi hingga 2 petang, pondok panas kami penuh dengan petugas dan pengundi. Kami rasa kemenangan makin dekat. Pengundi cina berpusu-pusu mendaftar ke pondok panas kami. Selepas pukul 2 petang, para petugas semakin kurang. Sebahagian besar sudah tak ikut jadual bertugas. Ustaz Shahrin beritahu saya, para petugas kita ramai dok di Kedai Che Meh...dok rancak bersembang...  ̋kita dah menang, kita dah menang  ̋. Aduh! Rosak program.

Apabila pusat mengundi ditutup, kami fokus pula kepada pengiraan undi. Di pusat mengundi kami, bilangan pengundi yang menyokong calon PKR terbukti meninggalkan calon UMNO. Kami amat gembira. Di kegelapan maghrib ketika saya dan teman-teman sibuk mengemas untuk menutup pondok panas, seorang lelaki cina sekitar 40an datang beritahu saya... ̋ Penang sudah jatuh, Penang sudah jatuh...Koh Soo Koon pun dah kalah!  ̋. Saya percaya dalam tak percaya.


No comments:

Post a Comment