6. Cerita sehingga dilantik sebagai Pengerusi JKKK Pondok Upeh
Suhu politik
tanah air kembali panas menjelang Pilihanraya ke-12 apabila Anwar Ibrahim
dibebaskan dari penjara oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Haji Ahmad
Badawi. Saya tinggal di Pondok Upeh sejak tahun 2000 dengan mengusahakan
Tuisyen Bestari dan menjadi pengedar keropok lekor dari Terengganu. Selain itu,
saya juga mengusahakan Gerai Raja Ais Kacang.
Apabila
pembubaran parlimen pada tahun 2008, kami di Pondok Upeh segera buka bilik
gerakan dan buat kerja-kerja pilihanraya. Masa itu kami tak kisah dan tak ambil
tahu siapa calon dan siapa ketua antara kami. Kami buat kerja pilihanraya
kerana meluat dengan penyelewengan UMNO/BN dan berkobar-kobar dengan semangat
reformasi selepas Anwar keluar dari penjara. Masing-masing menyumbang sama ada
duit, tenaga, peralatan, idea dan lain-lain. Yang penting LAWAN!
Saya juga
terdengar-dengar protes PAS terhadap PKR kerana ambil kerusi DUN Pulau Betong
untuk lawan UMNO. Sebabnya jentera PKR di DUN Pulau Betong boleh dikatakan ‘0’
berbanding jentera PAS yang sentiasa aktif dan bersedia. Pimpinan PKR hanya kalut masa dekat
pilihanraya untuk ditonjol sebagai calon. Sebagai protes, PAS liat buka bilik
gerakan mereka. Kami tak kisah kerana kami tiada kepentingan. Kami tetap aktif
buat kerja di bilik gerakan. Masa tu kami nak lawan dan kalahkan UMNO/BN saja.
Tidak terfikir lagi apa yang perlu kami buat jika UMNO/BN kalah.
Setelah
penamaan calon, baru kami tahu yang akan bertanding di DUN Pulau Betong ialah
Mansor Bin Othman yang tinggal di Sungai Dua dan Parlimen Balik Pulau ialah
Yusmadi Bin Yusoff, seorang peguam di Kuala Lumpur iaitu anak watan Kampung
Jalan Bahru, Balik Pulau. Kami terima dengan gembira calon-calon kami sebab
kami tiada kepentingan apa-apa. Bila dikenang balik, betapa mulianya hati kami
(orang kampung) untuk berjuang. Bila diseru LAWAN, kami LAWAN walaupun yang
kami naikkan nanti bukan di kalangan kami. Biarpun yang jadi YB nanti bukan
antara kami. LAWAN TETAP LAWAN!
Semakin
dekat pilihanraya kami semakin bersemangat. Poster calon dan bendera PKR kami
pasang bukan hanya di Pondok Upeh malah merentas Simpang Empat dan Kongsi.
Sebabnya PKR tiada jentera yang aktif di situ. Hari
pilihanraya kami sibuk di pondok panas di depan SRJK (C) Chong Teik untuk
kemaskini data pengundi dan merayu undi.Taklimat malam sebelum piliharaya telah
dimuktamadkan senarai petugas dari pagi hingga petang, ikut masa yang
dipersetujui bersama.
Awal pagi hingga 2 petang, pondok panas kami penuh dengan
petugas dan pengundi. Kami rasa kemenangan makin dekat. Pengundi cina
berpusu-pusu mendaftar ke pondok panas kami. Selepas pukul 2 petang, para
petugas semakin kurang. Sebahagian besar sudah tak ikut jadual bertugas. Ustaz
Shahrin beritahu saya, para petugas kita ramai dok di Kedai Che Meh...dok
rancak bersembang... ̋kita dah menang, kita dah menang ̋. Aduh! Rosak program.
Apabila
pusat mengundi ditutup, kami fokus pula kepada pengiraan undi. Di pusat
mengundi kami, bilangan pengundi yang menyokong calon PKR terbukti meninggalkan
calon UMNO. Kami amat gembira. Di kegelapan maghrib ketika saya dan teman-teman
sibuk mengemas untuk menutup pondok panas, seorang lelaki cina sekitar 40an
datang beritahu saya... ̋ Penang sudah jatuh, Penang sudah jatuh...Koh
Soo Koon pun dah kalah! ̋. Saya percaya dalam tak percaya.